GAMBAR anak bongsu Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama iaitu Sasha Obama menjadi pelayan di sebuah restoran menjadi viral apabila dikongsikan netizen di laman sosial masing-masing.
Sasha, 15, dipercayai melakukan kerja sambilan sempena cuti persekolahan musim panas dengan menjadi pekerja di sebuah restoran makanan laut, Martha’s Vineyard di Massachusetts.
Walau bagaimanapun, Sasha tidak berseorangan apabila pergerakannya sentiasa diperhatikan oleh enam agen khas yang ditugaskan untuk memerhatikan keselamatan dirinya.
Ketika Sasha melakukan kerjanya, agen-agen tersebut akan menunggu di dalam kenderaan mereka sehingga waktu kerja Sasha selesai.
Pihak White House masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung hal tersebut, namun sebelum ini ibu Sasha, Michelle Obama pernah mengeluarkan kenyataan bahawa mahu anak-anaknya menjalani kehidupan normal sama seperti remaja lain di luar sana.
Selain Sasha, pasangan Obama turut mempunyai seorang lagi anak perempuan, Malia, 18.