Shahir nafi hubungan rapatnya dengan Erra Fazira putus

Tags



KUALA LUMPUR: Sebelum ini pernah dilaporkan mengenai jalinan hubungan rapat antara juara Akademi Fantasia (AF) musim kelapan, Shahir Zawawi dengan Erra Fazira. Namun sejauh mana rapatnya hubungan mereka berdua, ia kekal misteri kerana hanya empunya badan yang lebih arif mengenainya. Baik Shahir mahupun Erra, tidak menafikan mereka cukup rapat dan cuma sekitar awal bulan ini ada kolum gosip menulis hubungan kedua-duanya kian renggang. Semalam, BH Online menghubungi Shahir dan Erra untuk mendapatkan kepastian mengenai cerita itu. Shahir sendiri agak terkejut dengan gosip berkenaan dan akui penyanyi lagu Aku Yang Berdosa itu, hubungannya dengan Erra seperti sedia kala. "Saya sendiri tak tahu menahu kenapa wujud cerita itu. Sumbernya sendiri tak berani untuk dedahkan nama. "Jadi saya anggap penulisan itu hanya sekadar usik usik atau andaian semata mata. Yang pasti tiada apa yang berubah," kata Shahir meleraikan persoalan. Shahir menjelaskan dia dan Erra masih berhubung seperti biasa. "Oleh kerana saya di kampung (Perak) dan dia di ibu kota, kami banyak berkomunikasi di telefon bimbit," katanya. Ditanya apakah Shahir tidak mahu kembali memeriahkan persada seni yang ditinggalkan buat seketika, jejaka berkenaan mahu berbuat demikian dan cuma masa sahaja yang akan menentukan. "Rangka perancangannya ada, Insya-Allah. Tunggu masa sesuai. Keinginan itu ada. Rindu nak balik kembali ke dunia seni. Ikhlas suatu hari nanti saya pasti kembali," katanya. Erra yang ditanyakan hal yang sama juga menjelaskan secara ringkas bahawa berita yang ditulis sebuah akhbar itu adalah tidak tepat.

loading...