Exco Melaka, Wartawan Teruja Jumpa Sendiri Rajinikanth

Tags

Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob menerima kunjungan hormat bintang filem terkemuka Tamil, Rajinikanth (kanan), di Seri Negeri, Ayer Keroh 27 Okt, 2015. — Gambar Bernama



Penduduk Melaka teruja menerima kedatangan bintang filem Tamil terkenal, Rajinikanth, yang tiba di sini semalam untuk penggambaran sebuah filem Tamil berjudul ‘Kabali’ di sekitar negeri ini.
Insan paling gemberia dengan kehadiran pelakon berstatus ‘superstar’ itu, anggota exco negeri Datuk MS Mahadevan, peminat setia Rajinikanth dan amat meminati filem ‘Muthu’ dan ‘Sivaji The Bos’.
Mahadevan, yang juga pengerusi MIC negeri, berkata peluang bertemu dengan Rajinikanth semalam ketika pelakon itu mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob merupakan detik yang tidak akan dilupakan sepanjang hayatnya.
“Rajinikanth seorang yang amat peramah serta mudah didekati, jadi saya harap pihak pengurusan beliau dapat memberikan kelonggaran untuk peminat menemuinya terutamanya di Melaka kerana ramai peminat Rajinikanth di sini.

“Ini adalah pengalaman pertama beliau di Melaka dan penggambaran filem ini dikhabarkan mengambil masa kira-kira 80 hari di Malaysia. Saya diberitahu filem ‘Kabali’ mengisahkan perjalanan watak utama tinggal di Malaysia kira-kira 20 tahun dan perubahannya daripada seorang jahat kepada baik,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mahadevan berkata pemilihan Melaka sebagai lokasi penggambaran akan membantu mempromosikan industri pelancongan negeri ini di peringkat antarabangsa kerana Rajinikanth dan filemnya sentiasa mendapat sambutan pelbagai masyarakat di seluruh negara.
Filem ‘Kabali’ telah melakukan penggambaran di Bandar Hilir, manakala hari penggambaran tertutup diadakan di Penjara Sungai Udang di sini. Filem itu dijadual mengadakan penggambaran di sini selama seminggu hingga 2 Nov ini.

Rajinikanth atau nama sebenarnya Shivaji Rao Gaekwad dilahirkan pada 12 Dis 1950 di Bangalore, India mula berkecimpung dalam bidang lakonan menerusi filem ‘Apoorva Raagangal’ diterbitkan pada tahun 1975.
Pada 1983, beliau muncul dalam filem Bollywood berjudul ‘Andha Kanoon’ bersama dua lagi pelakon terkenal Amitabh Bachchan and Hema Malini, menjadikan filem itu antara filem terlaris dalam sejarah perfileman negara itu.

Antara filem terkenal beliau ialah Thalapathy, Mannan, Annamalai, Uzhaippali, Veera, Baasha, Arunachalam, Padayappa manakala filem Muthu merupakan filem Tamil pertama dialih bahasa ke bahasa Jepun dan terkenal di negara matahari terbit.

Wartawan Makkal Osai yang bertugas di Melaka, R Malini, 37, berkata pertemuan dengan Rajinikanth ketika melakukan liputan kunjungan hormat pelakon itu ke atas Mohd Khalil semalam merupakan antara detik bersejarah dalam kariernya sebagai wartawan selama lebih 10 tahun.

“Bila berjumpa dengan beliau terasa aura yang amat selesa, seperti berjumpa dengan mendiang bapa saya sendiri. Beliau seorang yang sangat spiritual, meskipun saya jumpa banyak pelakon tetapi pertemuan dengan beliau adalah pengalaman yang paling hebat,” katanya.

Malini berkata beliau amat meminati Rajinikanth sejak kecil dan ketokohan serta keperibadian pelakon terkenal itu perlu dicontohi generasi muda masa kini dalam pembentukan diri mereka sendiri.
Peniaga makanan Dawood Abdul Ghafur, 49, berkata beliau teringin untuk melihat secara dekat penggambaran pelakon idolanya sejak berusia belasan tahun dan mengetahui tentang kedatangan Rajinikanth melalui anaknya.

“Sememangnya saya teruja bila beliau datang ke Melaka dan mahu berjumpa beliau. Kalau berpeluang saya hendak belanja makan nasi lemak di kedai makan saya,” katanya yang mengusahakan perniagaan Nasi Lemak Ujong Pasir di sini.

Penjawat awam Kamarudin Atan, 43, berkata beliau sedang mencari lokasi penggambaran filem ‘Kabali’ seterusnya di negeri ini bagi menyaksikan sendiri proses penggambaran dan bertemu pelakon yang menjadi idolanya itu.

“Saya mengikuti filem lakonan Rajinikanth sejak tahun 80-an dan beliau mempunyai stail serta aura yang tersendiri sehingga dapat memukau penonton di layar perak,” katanya.

loading...