Justeru, kata Khalid, cadangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) untuk menanam pokok ketum bagi tujuan eksport adalah dibenarkan, namun perbincangan perlu dibuat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi tujuan kawalan supaya ia tidak disalah guna.
“Dalam undang-undang Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, tidak dinyatakan menanam daun ketum adalah salah.
“Bagaimanapun, saya cadangkan kepada RISDA jika mereka mendapati daun ketum itu ada nilai dalam perubatan dan mahu mengeksportnya, mereka perlu dapat kebenaran dan pandangan daripada KKM kerana KKM saja yang dapat memutuskan perkara itu.
“Tambahan, ketum termasuk dadah berjadual yang boleh menyebabkan seseorang itu khayal jika diambil dalam kuantiti berlebihan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutup Persidangan ASEANA di Hotel Marriot, di sini, hari ini.
Khalid berkata demikian ketika mengulas mengenai cadangan RISDA untuk menanam daun ketum.
Sementara itu, pada perkembangan berlainan, Khalid berkata, polis tidak boleh membuat kesimpulan atau kenyataan berhubung kehilangan MH370 sehingga kotak hitam pesawat itu ditemui.
“Saya enggan dan tidak akan mengulas sebarang spekulasi berhubung kehilangan pesawat MH370. Rumusan penuh mengenai insiden itu hanya akan dibuat hanya selepas kotak hitam pesawat malang itu ditemui,” katanya.