Perompak Dungu Larikan Mesin Kemas Kini Buku Akaun Disangka Mesin ATM




Empat perompak berputih mata selepas tersilap membawa lari mesin kemas kini buku akaun bank yang disangka mesin pengeluaran wang automatik (ATM), baru-baru ini. AGENSI
MUMBAI 26 Sept. – Mungkin kerana faktor kurang ilmu, sekumpulan pencuri di India terpaksa berputih mata selepas mereka tersilap melarikan sebuah mesin mengemas kini buku bank yang disangka mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dalam satu kejadian dekat Guwahati, Assam, baru-baru ini.
Portal mid-day melaporkan, mesin yang dilarikan empat pencuri itu sebenarnya adalah sebuah mesin kemas kini buku akaun bank milik Bank Negara India (SBI).
Menurut laporan media tempatan, kejadian itu berlaku setelah kumpulan pencuri itu yang memecah masuk bangunan SBI di Binovanagar gagal membezakan antara mesin ATM dan mesin kemas kini buku akaun bank.
Pencuri yang dikenal pasti sebagai Sahab Ali, Saiful Rahman, Mainul Haque dan Saddam Hussain kemudiannya nekad melarikan mesin kemas kini buku akaun tersebut.
Bagaimanapun, belum sempat melarikan diri, mereka diberkas anggota polis yang sedang membuat rondaan.
Ketika ini, kebanyakan premis bank di India turut menempatkan mesin ATM bersama mesin kemas kini buku akaun bagi memudahkan urusan pelanggan.
Kesilapan kumpulan pencuri itu membuktikan mereka tidak terdedah kepada perkembangan teknologi semasa.

loading...