Penghakiman Mahkamah Persekutuan terhadap rayuan Khir Toyo diketahui esok | Berita Hangat Terikini!!!

Tags




PUTRAJAYA: Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo akan mengetahui nasibnya esok, sama ada merengkuk dalam penjara atau dibebaskan. Mahkamah Persekutuan dijadual membuat penghakimannya esok berhubung rayuan akhir Dr Mohamad Khir terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 bulan kerana menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan tanah dan unit banglo. 

Sekiranya Mahkamah Persekutuan membuat keputusan yang memihak kepadanya, Dr Mohamad Khir akan dibebaskan namun, jika keputusan sebaliknya, beliau akan menjalani hukuman penjara mulai esok. Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin menangguhkan penghakiman terhadap rayuan Dr Mohamad Khir selepas mendengarnya pada 18 Januari lepas. 

Hakim-hakim lain ialah Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Ramly Ali. Pada 23 Disember 2011, Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati Dr Mohamad Khir, 49, bersalah kerana mendapatkan untuk dirinya dan isterinya Zahrah Kechik, 47, dua plot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7, Shah Alam, pada 2007 daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarahnya Datuk Shamsuddin Hayroni, dan menjatuhi hukuman penjara 12 bulan terhadapnya Hartanah itu dibeli dengan harga RM3.5 juta sedangkan Ditamas membayar RM6.5 juta untuk hartanah itu pada 23 Disember 2004. 

Dr Mohamad Khir melakukan kesalahan itu dengan mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan perniagaan dengannya atas kedudukan rasminya sebagai Menteri Besar Selangor ketika itu. Dr Mohamad Khir yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, dituduh melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei, 2007. 

Mahkamah Tinggi memerintahkan pelucutan hak hartanah itu dan diserahkan kepada kerajaan. Pada 30 Mei 2013, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Dr Mohamad Khir dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi. 

Susulan itu, beliau memfailkan rayuannya ke Mahkamah Persekutuan. Dr Mohamad Khir diwakili oleh sekumpulan peguam diketuai oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sementara pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Masri Daud.



loading...