PETALING JAYA: Penyanyi nasyid Suhaimi Saad mengakui menerima beberapa ugutan daripada individu tidak dikenali menerusi mesej peribadi di laman sosial.
Suhaimi, 36, berkata, perkara itu timbul selepas beberapa status berkaitan cara hidup yang diamalkan keluarganya menjadi viral dan tidak diterima segelintir masyarakat."Saya terima banyak ugutan daripada beberapa individu tidak dikenali kerana mereka tidak bersetuju dengan pendapat yang saya utarakan di facebook.
"Ramai yang ugut nak pukul, pijak dan macam-macam lagi jika jumpa saya.
"Saya sendiri tidak faham kerana pada saya apa yang saya tulis adalah pendapat dan cara hidup saya itu tidak menganggu kehidupan mereka," ujarnya kepada mStar Online.
Bagaimanapun, Suhaimi berkata, perkara itu masih belum sampai ke tahap serius hingga perlu di laporkan ke pihak polis.
Bekas ahli kumpulan InTeam ini mula hangat diperkatakan selepas memuat naik pendapat peribadinya tentang pemberian vaksin pada empat cahaya matanya.
Suami kepada Nordiana Naim atau Ina Naim ini juga sekali lagi menjadi viral dengan kisah rumah tangga yang dikatakan terlalu zuhud dengan tidak memiliki peralatan elektrik, serta tidak memberikan anak mereka kehidupan seperti kanak-kanak lain termasuk mengikuti sisitem pendidikan di negara ini.
Pada awal bulan lalu, dia juga dikecam pengguna laman sosial apabila gambar anak-anaknya didakwa sedang meminta sedekah di bazar Ramadan tersebar.
Dalam pada itu, Suhaimi berkata, kesan viral tersebut, kehidupannya berubah apabila sering dipandang serong masyarakat.
Malah, katanya, kerjaya nyanyian juga menerima kesan apabila lebih tiga persembahannya telah dibatalkan oleh penganjur dengan alasan tidak mahu mencetuskan kemarahan penonton.
"Saya tahu ramai yang tidak suka, malah ada yang kata ingin ludah saya jika jumpa di luar. Perkara itu membuatkan saya jarang keluar rumah sehinggakan ingin ke masjid pun saya kena fikir dua kali.
"Sejak viral itu juga lebih tiga persembahan saya dibatalkan kerana tidak mahu kejadian tidak diingin berlaku. Sejujurnya memang sedih tetapi saya percaya ada hikmah di sebalik perkara yang terjadi," ujarnya.
Selain itu, menjelaskan dakwaan kononya melatih anak-anak minta sedekah, Suhaimi berkata, ia adalah aktiviti bagi mengutip tabung sebuah persatuan kebajikan di Sabah.
"Saya dan isteri menjadi duta untuk sebuah persatuan kebajikan di Sabah dan kami memang sering mengikuti aktiviti mereka untuk mengutip dana.
"Anak-anak saya juga selalu dibawa untuk melatih mereka berhadapan dengan orang ramai," ujarnya.
Dalam pada itu, Suhaimi berkata, dia meminta orang ramai agar menghormati cara dan kehidupan yang dipilih untuk keluarganya.
Tambahnya, apa yang dilakukan itu juga tidak menganggu gugat kesejahteraan mana-mana individu dan masyarakat di negara ini.
Suhaimi berkahwin dengan Ina Naim pada 12 Ogos 2007 dan dikurniakan empat cahaya mata.